Beberapa Bentuk Urusniaga
Saham & Hukum Shariah
( SIla baca penambahan hukum T+3 dan Kontra di bawah sekali- updated pada 8 Ogos 07)
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Penulisan ini hanya mampu menyertakan beberapa info ringkas berkaitan sebahagian bentuk urusniaga saham dan hukumnya sahaja. Ia dibuat dalam bentuk ringkas bagi pembacaan orang awam dan bukan tujuan pengkajian akademik. Saya juga hanya mampu untuk mengulas sebahagian bentuk yang popular sahaja buat ketika ini. Ini berlaku disebabkan masih banyak isu dan teknik yang digunakan belum diperbincangkan oleh ulama kontemporari dengan mendalam. Saya juga cuba menggunakan bahasa yang semudah mungkin agar pembaca awam dapat memahaminya.
Urusniaga di bursa saham telah diperbincangkan banyak kali dalam pelbagai persidangan ulama dan pakar kewangan sedunia. Keputusan Kesatuan Fiqh Antarabangsa ( pada 9-14 Mei 1992 ) dan Majlis Kajian dan Fatwa Eropah dalam keputusannya (7/1) 63 antara lainnya menyebut :-
Penyertaan Dalam Pembelian Saham
Hukum membeli saham pada asalnya adalah sama dengan hukum bersyarikat atau musharakah atau rakan kongsi. Ia adalah harus menurut Shariah dari al-Quran dan Hadith. ( Al-Mughni, Ibn Quddamah, 5/3 )
Dalil dari Al-Quran :
فهم شركاء في الثلث
Ertinya : "dan mereka berkongsi dalam 1/3 " ( An-Nisa : 12 )
Antara hadith :
أنا ثالث الشريكين ما لم يخن أحدهما صاحبه
Ertinya : Nabi menyatakan :" Aku orang ketiga bersama dua orang yang bersyarikat selagi mana tiada salah seorang yang mengkhianati rakannya" ( Riwayat Abu Daud )
Syarat Umum
Antara syarat umum yang telah diletakkan dalam hal menyertai aktivti urusniaga saham ini adalah :-
a. Penubuhan dan penyertaan sebuah syarikat yang patuh Shariah di dalam bursa adalah harus.
b. Tiada sebarang perbezaan pandangan bahawa menyertai atau membeli saham syarikat yang asas utama perniagaannya adalah haram seperti memberi pinjaman Riba atau berniaga barangan yang diharamkan adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Majoriti ulama dunia mengharuskan penjualan dan pembelian di bursa kerana :-
1- Syarat Ijab Qabul telah terlaksana dalam pembelian dan pemilikan saham.
2- Majlis Pengarah syarikat telah mewakili seluruh pemegang saham dalam pelaksanaan syarikat mereka.
Justeru, antara para ulama besar yang mengharuskannya adalah Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Ali Khafif, Syeikh Muhammad Abu Zahrah, Dr Muhammad Yusof Musa dan ramai lagi. ( At-Takaful Al-Ijtima'ie, Abu Zahrah, 2/184 ; As-Syarikat : Ali Khafif, hlm 96 ; Al-Mualamat Al-Maliah, Uthman Syabir, hlm 206)
Sedikit Pertikaian Hukum Berkongsi syarikat Dengan Bukan Islam
Tidak dinafikan terdapat perbincangan dan pertikaian berkenaan keharusan membeli saham patuh shariah yang majoriti pemilikannya dimiliki oleh individu bukan Islam.
Terdapat sebahagian ulama yang tidak membenarkannya dan ada juga yang menganggapnya sebagai makruh. Ia berdasarkan riwayat Ibn Abbas r.a
لا تشاركن يهوديا ولا نصرانيا ولا مجوسيا قلت لم قال لانهم يربون والربا لا يحل
Ertinya : Berkata Ibnu Abbas, "Jangan kamu bersyarikat dengan Yahudi, Nasrani atau Majusi" , maka aku ( Ibn Hamzah) bertanya " Mengapa tidak?" Jawab Ibn Abbas : "Kerana mereka melakukan riba dan riba tidak halal" ( Al-Mughni, Ibn Quddamah, 5/3 ; Al-Muhazzab, 1/345 )
Hadith di atas menjadikan Imam As-Syafie menganggap ber'musharakah' dengan bukan Islam adalah makruh. Manakala Imam Ahmad, Awzaie dan Hasan al-basri menganggapnya harus. Imam Ibn Quddamah juga mengatakan kata-kata Ibn Abbas tadi hanyalah pandangan seorang sahabat dan tidak pula tersebar di kalangan sahabat lain.
Manakala Khalifah Umar al-Khattab berpandangan harusnya dengan iktikad ianya dari pendapatan mereka yang halal sebagaimana Nabi SAW diriwayatkan membeli makanan dari Yahudi dan mencagarkan baju besi baginda SAW. (Al-Mughni, Ibn Quddamah).
Pandangan mengharuskan dengan melihat kepada perincian aktiviti syarikat ini disokong kuat oleh ulama besar kontemporari seperti Syeikh Mustafa Az-Zarqa. Beliau menolak pengharaman umum ke atas penyertaan di bursa saham. ( Al-Muamalat Al-Maliah, Syabir, hlm 210 )
Justeru selagi mana urusniaga syarikat adalah menepati Shariah, ia adalah sah walaupun terdapat rakan kongsi bukan Islam yang samada diketahui atau tidak bahawa modalnya dari yang haram. Ia juga dikuatkan oleh riwayat berikut :-
روى الخلال بإسناده عن عطاء قال نهى رسول الله عن مشاركة اليهودي والنصراني إلا أن يكون البيع والشراء بيد المسلم
Ertinya : Diriwayatkan oleh al-Khallal dengan sanadnya dari Ato' berkata : Rasulullah SAW melarang dari bermusharakah dengan Yahudi dan nasrani kecuali jika jual belinya ditangan orang Islam ( menuruti Shariah)" ( Al-kafi fi Fiqh al-Hanbali, 2/257 ; Al-Mubdi' , Ibn Mufleh, 5/4; Ibn Qayyim : Dhoif sanadnya kerana mursal : Ahkam Ahli Zimmah, 1/556 )
Di Malaysia
Oleh kerana di Malaysia, telah wujud Jabatan Modal Islam di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang antara lain telah mengeluarkan senarai Sekuriti (Syarikat) Patuh Shariah, justeru sebarang pembelian saham yang termasuk dalam senarai ini adalah harus pada asalnya. Rujuk http://www.sc.com.my/ dan dapatkan senarai tersebut dengan percuma.
Ketika ini sekitar 80 % dari 889 sekuriti (saham) yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur adalah patuh Shariah atau disahkan halal. Jumlah 'market capitalization' pula mencecah RM 343 Billion. Dari 10 buah sekuriti yang terbesar di BSKL, 5 antaranya adalah patuh Shariah yang membawa kepada wujudnya KLSE Syariah Index pada tahun 1999 (http://www.sc.com.my/capitalmy/Oct03/html/MasICM.html)
Hukum Umum
Kebanyakan ulama kontemporari berpendapat tatkala anda membeli saham sesuatu syarikat, anda sebenarnya telah memiliki sebahagian kepentingan equiti syarikat tersebut, ini bermakna sebagai pemegang saham, anda dikira sebagai rakan kongsi dari sudut pandangan Islam. Justeru, sebagai rakan kongsi, anda terdedah kepada risiko mendapat kerugian atapun kelebihan keuntungan. Hal ini menjelaskan bahawa hukum asal pembelian saham adalah halal kerana ia didasari aqad 'Musyarakah'.
Pembelian saham harus dibuat melalui 'broker' atau 'remiser'. Tugas mereka biasanya adalah menentukan nilai pasaran dan coraknya, mengiklankan sebarang aset untuk jualan, menayangkan beberapa aset kepada pemebli yang berpotensi, menasihati pelanggan dalam tawaran yang diterima, sebagai wakil untuk membeli dengan upah tertentu.
Hukum broker
Sekadar menjadi wakil kepada pelanggan serta mengambil upah, ia adalah harus dalam Shariah menurut hukum 'Al-Wakah bil Ujr' (agen dengan upah) yang selagi mana sekuriti (saham) yang dibelinya juga adalah patuh Shariah.
Sebarang pembelian saham tidak patuh Shariah akan menyebabkan keuntungan hasil dari upah belian tadi juga adalah haram. Sebagaimana disebutkan
وأن الله إذا حرم شيئا حرم ثمنه
Ertinya : "Dan sesungguhnya Allah SWT apabila mengharamkan sesuatu maka haram jualah harga ( keuntungan dari jualannya)" ( Riwayat Ahmad dan Abu Daud, Albani : Sohih ; Ghayatul Maram, no 318 )
Justeru, sebarang upah dari pekerjaan haram adalah haram, upah wakil pembelian saham yang haram juga haram sebagaimana hadith di atas.
Fungsi broker juga adakalanya menjadi sebagai orang tengah dengan bank atau mana-mana Institusi kewangan Riba untuk memberikan pinjaman dengan 'interest' kepada pelanggan untuk membeli saham yang dijanka baik dan akan naik adalah haram disebabkan keterlibatan dengan Riba tadi.
Teknik pembelian & Hukum
Berikut beberapa cara yang yang biasa digunakan dan disertakan makluman hukumnya secara ringkas:-
1) Short Selling ( Jualan Singkat )
Jualan singkat ialah tindakan seseorang menjual sekuriti (saham) yang tidak dimilkinya pada masa jualan .
Secara umumnya, 'short selling' terlibat dengan pinjaman sekuriti (saham) dan kemudian menjualnya dengan andaian ia boleh dibeli semula dengan harga yang lebih murah, hasilnya ia akan beroleh keuntungan hasil perbezaan harga tadi, dalam konteks ini, proses jualan seolah-olah telah diterbalikkan.
Isu shariah di sini adalah di dalam Islam, sekiranya seseorang ingin mendapatkan untung dari sesuatu saham, mereka mestilah memiliki saham itu terlebih dulu.
Nabi SAW menyebut :-
لا تبع ما ليس عندك
Ertinya : "Jangan kamu jual sesuatu yang tidak kamu miliki"
Justeru, para ulama berpendapat jualan ini adalah diharamkan. (Dr Ma'bad Ali Al-Jarihi, Al-Aswaq Al-Maliah, 1/134 ; Ahkam al-Aswaq Al-maliah, Dr Muhd Sabri Haron, hlm 269 )
Walaubagaimanapun, Majlis Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah membuat keputusan bahawa jika short selling dibuat secara khas dan terkawal (regulated short selling), ia adalah harus. Rujuk Suruhanjaya Sekuriti untuk info lengkap berkenaan Regulated Short Selling yang dibuat atas konsep Ijarah dengan beberapa pengecualian berdasarkan konsep Istihsan. ( Keputusan Majlis Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti, Edisi Kedua, hlm 79)
2) Margin trading or buying
Margin trading adalah membeli saham dengan menggunakan wang yang dipinjam dari broker. Kebiasaannya faedah akan dikenakan atas pinjaman ini. Jika ini berlaku, hukum menggunakan kaedah ini adalah haram disebabkan pinjaman Riba tadi. Selain itu ia juga amat berisiko buat pelabur kerana jika saham yang dibelinya rugi, ia akan menanggung kerugian berganda. (Ahkam al-Aswaq Al-maliah, Dr Muhd Sabri Haron, hlm 271 ; http://en.wikipedia.org/wiki/Margin_trading)
3) Options Trading
Takrifnya adalah : Satu kontrak yang mana hak diberikan (tetapi tidak menjadi kewajiban) kepada pemegangnya untuk membeli atau menjual sesuatu saham yang dipersetujui pada harga yang ditentukan. Tiada kewajiban bagi penempah untuk memenuhi tuntutan kontrak bagi yang membeli item yang ditempah, tetapi penjual hak item itu, wajib memenuhi tuntutan kontrak (AAOIFI Shariah Standard, hlm 356).
Terdapat juga sebahagian 'options' yang menyebut bahawa jika salah satu pihak menolak untuk melakukan transaksi pada tarikh yang ditentukan, ia perlu membayar gantirugi yang telah ditentukan jumlahnya di awal tadi. Ia juga adalah haram menurut para ulama Islam. (Al-Ashum Wa- As Sanadat Wa Ahkamuha , Dr Ahmad Al-Khalil, hlm 208)
Secara kesimpulan, ia juga instrumen konvensional yang diharamkan.
4) Day Trading
Day trading merujuk kepada praktis menjual sesuatu saham pada hari yang sama ia dibeli iaitu sebelum pasaran ditutup pada hari itu.
Para ulama berbeza pandangan dalam menentukan hukumnya, sebahagian besar berpendapat ianya harus kerana saham yang telah dibeli adalah hak milik penuh pembeli, ia boleh menjualnya pada bila-bila masa yang dikehendakinya.
Walaubagaimanapun, terdapat sebahagian ulama yang lain berpendapat jika ia dijual pada hari yang sama, elemen spekulasi menjadi besar dan boleh menjadikannya sebahagian dari perjudian.
5) Swing trading
Swing trading bererti pembeli saham akan menyimpan sahamnya sekitar satu hingga empat hari. Kemudian akan menjualnya semula apabila didapati harga lebih tinggi dari harga beliannya.
Kejayaan ‘swing trading' tertakluk kepada sejauh mana bijaknya pelabur memilih saham yang ingin dibeli. Biasanya para pelabur sebegini akan mengunakan analisa teknikal bagi memilih sebarang sekuriti (saham) yang mempunyai potensi ini.
Hukum ;
Saya tidak melihat terdapat sebarang masalah Shariah dalam urusniaga ‘swing trading' ini selagi ia tidak melibatkan hutang dengan faedah dan sahamnya patuh Shariah.
6) Range trading
Para pelabur yang menggemari ‘range trading' biasanya akan memerhatikan turun naiknya sesebuah saham yang sedang ditekuni. Menurut teori sebahagian pengkaji saham, setiap kali nilai sesuatu saham itu naik tinggi, ia akan jatuh kembali dan akan naik kembali. Kumpulan pelabur jenis ini akan cuba memanfaatkan peluangnya dengan membeli saham tersebut sebelum harga benar-benar jatuh di tahap terbawah. Setelah itu, ia akan menunggu agar harga saham tadi naik kembali lalu menjualnya bagi mendapat untung hasil perbezaan harga beliannya dan jualan semasa. Dengan itu, ia dapat membeli dengan harga yang murah dan menjual ketika mahal.
Hukum ;
Saya tidak sempat membuat semakan terperinci perbincangan para ulama berkenaan hal ini. Malah perbincangan tentang hukumnya hampir tidak ada dalam perbincangan kitab-kitab dan tesis kontemporari yang sempat saya semak. Kemungkinan ia dianggap termasuk dalam pembelian saham biasa dan penjualan juga biasa yang mana hukumnya adalah halal.
Walaubagaimanapun, tidak dinafikan unsur spekulasi yang mirip kepada perjudian boleh menjadi semakin ketara di sini. Ini kerana, pembelian saham yang tulen lagi halal adalah didasari oleh pembelian hak pemilikan dalam sesebuah syarikat didorong oleh potensi masa hadpan yang cerah dan kualiti bisnes yang dijalankan. Walaubagaimanapun, dalam hal ‘range trading', ia seolah-olah tidak memberikan fokus utama kepada bisnes syarikat itu dan potensinya, sebaliknya apa yang menjadi keutamaan adalah ‘trend' jatuh naik harganya sahaja.
Justeru, di masa ketiadaan mana-mana fatwa yang sempat saya temui dalam hal ini. Saya menasihatkan agar mana-mana pelabur yang ingin membuat cara ini memberikan perhatian lebih kepada potensi saham dan bisnesnya berbanding berspekulasi harga sahaja bagi mengelakkan syubhah dalam pembeliannya.
7) Loan Stock
Ia adalah samada saham biasa atau saham istimewa yang digunakan sebagai cagaran untuk sesuatu hutang dari pihak lain. Yang mana hutang tadi adalah suatu hutang yang telah ditetapkan kadar faedah tertentu. Sesuatu hutang yang dijamin ini boleh bertukar kepada pemilikan saham dengan syarat-syarat yang tertentu dan dengan kadar pertukaran yang telah dipersetujui.
Di ketika ini, hukum ‘loan stock' yang ada di pasaran adalah haram menurut Islam kerana ia akan memasukkan sekali jumlah faedah atau Riba dari pinjaman tadi.
8) Waran Panggilan (Call Warrant)
Warran panggilan adalah satu hak, tetapi bukan kewajiban untuk membeli sesuatu asset atau saham dengan kuantiti tertentu dengan harga tertentu dalam tempoh masa yang tertentu.
Ia diterangkan oleh investopedia sebagai
"A warrant that gives the holder the right to buy the underlying share for an agreed price, on or before a specified date"
Call warrant adalah harus menurut Majlis Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti dengan syarat saham yang berkaitan dengan waran ini ialah saham patuh Shariah. (Keputusan Majlis Penasihat Shariah, hlm 66)
9) Saham Keutamaan ( Preference Shares)
Antara keterangan bagi saham keutamaan adalah seperti berikut :-
A class of ownership in a corporation that has a higher claim on the assets and earnings than common stock. Preferred stock generally has a dividend that must be paid out before dividends to common stockholders and the shares usually do not have voting rights.
The precise details as to the structure of preferred stock is specific to each corporation. However, the best way to think of preferred stock is as a financial instrument that has characteristics of both debt (fixed dividends) and equity (potential appreciation). Also known as "preferred shares". (http://www.investopedia.com/terms/p/preferredstock.asp )
The precise details as to the structure of preferred stock is specific to each corporation. However, the best way to think of preferred stock is as a financial instrument that has characteristics of both debt (fixed dividends) and equity (potential appreciation). Also known as "preferred shares". (http://www.investopedia.com/terms/p/preferredstock.asp )
Hukum ;
Majlis Fiqh Antarabangsa, Dallah Al-Barakah dan Majlis Fatwa Eropah memfatwakan pembelian saham keutamaan adalah haram. Antara ciri yang menjadikannya haram adalah kerana : -
a- ia mempunyai unsur jaminan modal,
b- pulangan yang terjamin; biasanya jika tiba-tiba satu bulan tiada sebarang keuntungan boleh dibahagikan oleh syarikat, pihak pemegang saham keutamaan tetap akan dibayar juga secara terkumpul (cumulative). Ini bermakna semua pemegang saham jenis ini dijamin keuntungannya. Ini jelas bertentangan dengan hukum Shariah.
c- Mendapat keutamaan untuk diberikan pembayaran di ketika pembahagian keuntungan dan 'liquidation'. Malah jika syarikat menghadapai masalah dan ditutup sekalipun, pemegang saham ini akan mendapat kembali nilai awal sahamnya tanpa sebarang kerugian. (Al-Muamalat Al-Maliah al-Mu'asiroh, Dr Uthman Syabir, hlm 205 )
Di dalam Islam, di dalam sebuah persyarikatan, tidak sepatutnya terdapat sebarang keutamaan kepada mana-mana rakan kongsi dan mereka patut diberikan hak sama rata. Kecuali nisbah pembahagian keuntungan sahaja yang boleh dipersetujui bersama.
Bagaimanapun, fatwa ini juga menjelaskan bahawa jika keutamaan yang dimaksudkan hanya terhad kepada beberapa hal prosedur dan pengurusan semata-mata. Ia adalah halal.
10) T + 3
Disebutkan takrifnya oleh web bursa Malaysia sebagai :-
There is no physical delivery of shares under the CDS. Instead, the CDS uses a simple book entry system to keep track of the movement of shares which arise from trades affected on Bursa Malaysia. For example, if you are a buyer of share A, your CDS account will be credited with Share A and the seller's account will show a debit of Share A. Sellers must have adequate shares in their CDS accounts by 12.30 pm on T+2 and buyer's account will be credited on T+3 with the shares, with T being the transaction date.
Atau secara mudahnya T+3 bererti urusniaga pembelian saham dibuat sebagai contoh pada hari Isnin, tetapi pembayaran bagi pembelian tadi akan diselesaikan dalam sebelum atau pada hari khamis ( dalam masa 3 hari). Pemilikan saham akan bertukar milik sejurus selepas transaksi walaupun pembayaran belum dibuat.
Walaubagaimanapun, jangan disangka bahawa di antara tempoh 3 hari itu, seseorang mempunyai masa untuk membatalkan urusniaga. Urusniaga telah termeterai pada hari urusniaga iaitu hari isnin dalam contoh di atas cuma proses pertukaran dan pembayaran sahaja yang belum dibuat. ( http://www.investopedia.com/ )
Hukum
a) Jika pembeli punyai wang secukupnya dari awal ; Jika pembeli membeli sekuriti patuh Shariah dengan cara T-3, beliau juga sememangnya telah mempunyai wang yang cukup dalam akaunnya sebanyak nilai pembelian sahamnya dari hari pertama lagi. Kemudian ia menjualnya apabila dilihat harganya menaik walaupun sebelum sampai tempoh pembayaran dibuat.
Menurut keterangan di dalam web bursa Malaysia (http://www.bursamalaysia.com/website/bm/bursa_basics/) seseorang yang ingin membeli mestilah mempunyai wang yang mencukupi untuk ‘cover' harga ysaham yang dibeli dan juga kos transaksi.
Tatkala itu saya berpandangan bahawa hak milik sekuriti yang dibeli telah sempurna dan ia juga memang mempunyai wang yang mencukupi bagi tujuan pembelian itu walaupun belum sampai hari perlu bayar, tatakala itu, belian dan jualannya adalah sah.
Adapun jika si pembeli tidak mempunyai wang yang cukup di dalam akaunnya pada waktu pembelian, tetapi hanya dipinjam dari wang broker dengan kadar faedah tertentu dengan harapan harga akan menjadi lebih tinggi dari apa yang dibeli,
Ini dilakukan bagi membolehkannya menjual sekuriti yang duibelinya sebelum sampai masa perlu bayar dan membuat keuntungan atas angin kerana membeli tanpa modal sebenar. Bagi saya urusniaga seperti ini ( jika berlaku) ia tidak syak lagi mempunyai unsur Riba (jika modal yang dipinjam punyai interest),
Sekiranya tiada punyai sebarang ‘interest', ia masih mempunyai elemen perjudian kerana ia benar-benar bergantung kepada nasib dan harapan harga akan naik. Pembeli pula tiada sebarang wang yang mencukupi, ia hanyalah bergantung kepada wang broker yang mengabuinya. Tatkala itu transaksi ini tidak halal. Wallahu'alam.
b) Jika pemilikan sekuriti ( saham) tidak bertukar dengan serta merta pada hari urusniaga dijalankan, ia adalah haram kerana ia tergolong dalam larangan nabi jual hutang dengan cara hutang. Dalil larangannya :
أن النبي صلى الله عليه وسلم نهى عن بيع الكالئ بالكالئ
Ertinya : "Sesungguhnya Nabi SAW melarang dari menjual hutang dengan hutang" (Riwayat Ad-Dar Qutni ; At-Tabrani, Al-Hakim : Sohih atas syarat Imam Muslim ; Naylul Awtar , no 2187 ; 5/174 )
Imam Ahmad, Ibn Munzir, Ibn Rusyd, Ibn Quddamah, Ibn Taymiah , As-Syubki dan Imam As-Syawkani menyebutkan bahawa telah Ijma' seluruh ulama bahawa haram membeli secara tangguh serahan barang dan juga tangguh serahan bayarannya. (Al-Mughni, 4/53 ; Bidayatul Mujtahid, 2/162 ; Az-zarqani ala Muwatta, 3/308)
Maksudnya, jika membeli sesuatu saham, dan pembayaran akan dibuat dalam masa 3 hari dan pertukaran milik juga hanyaa akan dibuat dalam 3 hari. Ia diharamkan kerana tergolong dalam larangan hadith di atas. Bagaimanapun, jika pertukaran milik saham berlaku di waktu transaksi, hanya pembayaran dalam masa 3 hari, maka ia halal.
11) Kontra
Menrut kefahaman saya, pembelian saham secara kontra adalah tindakan membeli saham tanpa mempunyai wang yang cukup didalam akaun. Apa yang dibuat adalah atas dasar andaian dan teka-teka bahawa harga saham yang dibelinya akan naik sbeelum sampai hari wajib bayar.
Urusniaga seperti ini dinamakan kontra dan ia telah larang untuk dilakukan di Malaysia. Dahulu, ia memang berlaku terutama sewaktu T + 7 diamalkan iaitu hari pembayaran adalah tujuh hari selepas transaksi.
Hukum
Hukum bagi transaksi kontra ini adalah perjudian pada pandangan Islam dan diharamkan.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
No comments:
Post a Comment