
Dari segi hubungan dengan negara jirannya,
terdapat tanda-tanda sejak awal yang menunjukkan adanya hubungan sulit antara
Syria sendiri dengan negara Barat dan negara haram Israel, walau pun secara
zahir sikapnya menunjukkan keras terhadap mereka khususnya Israel. Namun yang
nyata ialah sejak awal sehingga kini, Syria tidak menjadi sasaran serangan
terbuka daripada Israel seperti yang dialami oleh Lubnan, Iraq dan Sudan.
Sebenarnya sudah terang lagi bersuluh, bahawa
adanya kerjasama melalui beberapa tindakan membantu pihak Barat apabila
menghalang dengan keras terhadap pengaruh politik Islam yang menjadi ancaman
terbuka kepada Israel dan Barat, disamping Syria mendapat dukungan kuasa besar
Rusia dan China.
Kebangkitan rakyat
berlaku sejak awal 80-an yang dipimpin oleh gerakan Islam Ikhwan Muslimin. Pada
ketika itu, Bandar Hama yang paling kuat pengaruh Islam menjadi mangsa
kekejaman. Puluhan ribu rakyat menjadi korban mangsa kezaliman kerajaan Parti
Ba’ath Alawi pimpinan Presiden Hafez al-Assad (1970 – 2000). Media tidak membuat
liputan, manakala negara Arab lain dan jirannya diam membisu. Maklumat hanya
melalui berita kecil dalam ruang yang sempit. Majoriti rakyat bermazhab Sunni
bernaung dan berpijak di atas bara yang membakar. Kalangan ulama yang berani dan
pemimpin anti kerajaan terpaksa menjadi mangsa dipenjara, ada dibunuh dan ada
yang hidup dalam buangan di luar negara. Hanya kalangan yang menyembunyikan diri
atau membisu boleh menyelamatkan diri. Adapun kalangan pengampu mendapat liputan
yang sebaik-baiknya dan diletak ditempat penting dalam urusan agama Islam untuk
menjadi topeng melindungi kesesatan dan kezalimannya.
Mantan diplomat Amerika yang menulis makalah
mengenai Fundamentalisme di Asia Barat sejak dua puluh tahun lalu, mendedahkan
pengetahuan Barat yang mendukung demokrasi dan hak asasi manusia, bahawa mereka
tahu dan faham kedudukan di Syria. Pihak Barat menyedari bahawa kerajaan
minoriti Alawi Parti Ba’ath menguasai majoriti golongan Sunni yang kuat beragama
dan betapa Hafez al-Assad dan anaknya berlakon sembahyang dan berbagai ibadat
yang tidak ada dalam ajaran Alawi, demi menghalang kumpulan Islam yang menjadi
ancaman paling bahaya kepada Israel dan kepentingan Barat.
Dalam senario sebegini, Bashar al-Assad pula
bermain politik talam banyak muka, apabila dari satu sudut dilihat membenarkan
para pejuang Palestin daripada Hamas dan Jihad, membenarkan Syria menjadi laluan
bantuan pihak tertentu kepada Palestin dan Hezbollah dengan bebas, bahkan diberi
kemudahan membuka pejabat, pusat latihan dan kemudahan yang lain; manakala di
satu sudut yang lain mempunyai hubungan sulit dengan Barat dan Negara haram
Israel. Adapun seluruh negara Arab yang lain tidak memberi tempat dan peluang
sepertinya. Sebaliknya pula Bashar al-Assad mengharamkan kumpulan Islam yang
sama sekiranya terdiri daripada rakyat Syria sendiri.
Kebangkitan rakyat yang berwajah Islam, secara
demonstrasi aman pada awalnya mendapat sambutan rakyat. Tiba-tiba mendapat
perhatian dunia luar khususnya negara Barat yang ada kepentingan masing-masing
dan Israel, sama ada pergantungan sumber tenaga petrol dan gas, atau
pergantungan dengan negara Zionis yang berpengkalankan di negara haram Israel.
Dua perkara yang dianggap rukun hidup kepada barat : Minyak dan Israel.
Setiap pengamat politik yang insaf wajib
melihat kepada aspek yang penting tersebut, sebelum menentukan sikap yang adil
dan istiqamah. Parti Islam SeMalaysia (PAS) bersama parti-parti Islam di negara
lain mengadakan wacana khas bagi menangani isu ini.
Kami berpendapat bahawa Regim Bashar wajib
diturunkan oleh rakyat Syria dan digantikan dengan kumpulan Islam tulen dengan
proses demokrasi yang sebenarnya dan adil. Campur tangan asing hendaklah
ditentang habis-habisan. Kerajaan Islam Iran juga hendaklah menarik sokongannya
terhadap regim yang zalim itu, demi menjaga maruah negara itu kepada umat Islam.
Negara-negara Arab dan berjiran seperti Turki pula jangan menjadi hamba kepada
negara Barat yang menjaga keselamatan Israel, minyak dan gas, dan bukannya
ikhlas terhadap rakyat Syria yang dizalimi. Barat bukan sahaja dilihat bahkan
terus bertindak dengan menunjukkan usaha mereka yang jelas untuk mencari
pemimpin pro Barat yang lebih menjaga kepentingan mereka selain daripada Bashar,
dan bukannya melihat kepada kepentingan 74% umat Islam di Syria. Selagi pemimpin
yang dikehendaki oleh pihak Barat ini tidak berhasil, maka Bashar akan terus
dikekalkan, kerana mereka berpendapat bahawa kedudukannya lebih baik di kalangan
yang zalim itu daripada yang lain.
Negara Arab, Turki dan Iran pula sepatutnya
bersatu menghadapi negara haram Israel, bukannya berkhilaf dalam isu Syria
sehingga terperangkap dengan agenda musuh timur dan barat. Semua pihak perlu
kembali kepada sejarah secara ikhlas, meninggalkan kepentingan mazhab, fanatik
perkauman dan kerusi singgahsana masing-masing. Ingatlah bahawa semua negara
besar itu turut terlibat dalam penubuhan negara haram Israel tahun 1948, dan
masih terus mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel sehingga kini. Mereka
jugalah yang terus membuat desakan supaya negara Arab dan Islam untuk menerima
Penyelesaian Two State Solution, antaranya menerusi Persidangan Annapolis pada
November 2007; yang membahagiakan dua negara iaitu satu untuk Zionis dan satu
untuk Arab Palestin (satu pembahagian yang zalim dan khianat).
Sekiranya negara-negara Arab, Iran dan Turki
saling menyatukan sumber tenaga manusia, sumber semula jadi di perut bumi dan
teknologi yang sudah mencapai kemampuan menghadapi cabaran, maka sudah tentu
ancaman negara haram Israel ini dapat diatasi.
Hingga kini kita masih terus menunggu setakat
mana pencapaian Resolusi Makkah daripada sidang kemuncak OIC yang berlangsung
pada bulan Ramadan lalu. Penyelesaian sebenar hanya akan dicapai apabila OIC
dibebaskan dari berkiblat ke arah kuasa asing dan mula berkiblatkan Kaabah di
Makkah. Perhatikan sehingga mana usaha penemuan susulan OIC di kalangan empat
negara penting terdekat dengan masalah yang sedang berlaku iaitu : Mesir, Turki,
Arab Saudi dan Iran. Atau adakah Syria akan atau sedang turut menjadi medan
ujian senjata kuasa barat dan timur, di mana negara-negara jiran menjadi
pengkalan bekalannya, dibayar pula dengan duit dan minyak Arab, akhirnya yang
kalah menjadi abu dan yang menang menjadi arang.
Penyelesaiannya ialah memperkasakan OIC, supaya
benar- benar mewakili umat Islam. Syria adalah medan paling sesuai supaya
dipulangkan hak kepada rakyat dengan pilihanraya adil secara langsung di bawah
kendalian OIC. Pemimpin negara menjadi ujian sama-sama beramanah atau bersedia
jadi pengkhianat dan menerima hukum Allah Yang Maha Adil.
KREDIT BRIDGE
No comments:
Post a Comment