MENUTUP SALAH SATU LALUAN SETAN
Salah satu pintu syaitan memasuki hati manusia adalah kejahilan. Orang yang berilmu akan mendapat darajat yang lebih tinggi apatah lagi jika dia dapat mengamalkan ilmu-ilmu tersebut. Kisah Iman Besar kita ini perlulah dipelajari agar dapat merangsang jiwa kita bermotivasi dalam menuntut ilmu.
Dipetik dari HERITAGE COLLECTION
Imam Syafie merupakan salah seorang
Imam Mazhab yang empat. Beliau mempunyai ketajaman akal dan kecerdikan yang luar
biasa. Beliau telah menghafaz al-Quran seawal umur 9 tahun lagi. Setahun
kemudian, beliau menghafal kitab al-Muwatta' karangan Imam Malik. Beliau
merupakan seorang yang sangat mencintai ilmu. Lantaran itu, pada satu hari
beliau meminta
izin daripada ibunya untuk keluar menuntut ilmu di Madinah. Ia
merupakan kali pertama Imam Syafie keluar daripada tempat kelahirannya Makkah
dan mengembara untuk meluaskan ilmu.
Apabila tiba di Madinah, beliau terus menuju ke
Masjid Nabawi dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Setelah selesai solat,
beliau terpandang satu majlis ilmu yang disampaikan oleh seseorang yang sangat
hebat dalam masjid tersebut. Orang tersebut sedang bersyarah di hadapan begitu
ramai anak-anak muda yang kesemuanya khusyuk mendengarnya. Orang itu ialah Imam
Malik yang sedang mengajar murid-muridnya tentang hadis-hadis Rasulullah
SAW.
Dengan langkah yang tertib, Imam Syafie terus menuju ke tempat Imam
Malik dan duduk bersama murid-murid beliau. Imam Syafie lantas mengambil
sebatang lidi lalu membasahkannya dengan air liur. Kerana kehidupannya yang
serba miskin, beliau telah menulis segala apa yang diajar oleh Imam Malik di
atas tapak tangannya. Tanpa disedari, Imam Malik memerhati segala tingkah
lakunya.
Selesai pengajian, Imam Malik memanggil Imam Syafie untuk
menegur beliau. Sangkanya Imam Syafie berbuat perkara kurang sopan ketika
belajar. Imam Malik bertanya, "Apakah kamu berasal dari Makkah?" Jawab Imam
Syafie, "Benar". Imam Malik bertanya lagi, "Mengapakah engkau bermain-main
dengan lidi dan air liurmu semasa aku sedang mengajar?" Jawab Imam Syafie, "Maaf
tuan. Sebenarnya saya tidak bermain-main. Oleh kerana saya tidak ada kertas dan
pena, segala yang tuan ajar saya tulis di atas tapak tangan saya menggunakan
lidi dan air liur untuk menghafalnya".
Apabila Imam Malik membelek-belek
tangan Imam Syafie, beliau tidak menjumpai sebarang tulisan pun. Beliau terus
berkata, "Tetapi kenapa tapak tangan engkau kosong sahaja?"
Kata Imam
Syafie, "Benar tuan. Namun demikian, saya telahpun menghafal kesemua hadis-hadis
yang tuan riwayatkan itu".
Setelah beliau disuruh membaca apa yang
dihafalnya, Imam Malik mendapati tidak ada satu pun hadis yang tertinggal
daripada 20 hadis yang diajar hari itu. Perkara yang aneh ini belum pernah
terjadi sebelumnya. Imam Malik begitu tertarik hati dengan
kebijaksanaannya.
Semenjak peristiwa itu, Imam Syafie dijemput untuk
tinggal di rumah Imam Malik sebagai tetamu sekali gus menuntut ilmu dengan Imam
Malik. Selama 18 bulan lamanya Imam Syafie berguru dengan Imam Malik. Hatinya
yang terang memudahkan beliau memahami dan menghafal kitab al-Muwatta'. Sehingga
akhirnya, murid kesayangan Imam Malik ini sering diberi penghormatan untuk
mengajarkan ilmu kepada murid-murid yang lain.
No comments:
Post a Comment