Muhyiddin Yassin
Muhyiddin memegang gasing tradisional Kelantan sempena pelancaran program Guru Muda 1Malaysia (GM1M) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Enggang, semalam.
KOTA BHARU - Permohonan yang terlalu banyak untuk berpindah daripada guru-guru menghalang Kementerian Pelajaran menyelesaikan perkara itu dalam masa singkat.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun perhatian sewajarnya sentiasa memberikan terhadap permohonan dikemukakan guru-guru yang datang dari seluruh negara itu.

“Tahun ini sahaja, sebanyak 20,000 permohonan untuk berpindah diterima daripada guru- guru di seluruh negara, namun tidak semuanya dapat dipenuhi.

“Masalah paling ketara kita hadapi adalah pemahaman mengenai pertukaran guru, daripada jumlah permohonan diterima, yang mahu balik ke Kelantan sahaja seramai 2,898 orang,” katanya ketika berucap pada impunan Guru Muda 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Enggang di sini, semalam.

Hadir sama, isteri beliau, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, selain kira- kira 6,000 warga pendidik berusia di bawah 40 tahun dari negeri di Pantai Timur.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, salah satu cadangan dipertimbangkan oleh kementerian itu adalah menghantar guru-guru yang baru menamatkan latihan kembali ke negeri asal masing-masing.
“Tolong nasihatkan saya, apa yang harus dilakukan bagi menyelesaikan masalah ini, kerana setiap tahun antara 10,000 sehingga 20,000 permohonan berpindah diterima, dan ia bukan sahaja untuk balik ke Kelantan, malah orang Johor hendak ke Johor, orang Sabah dan Sarawak bertanya kenapa mereka dihantar ke Semenanjung,” katanya.
Selain itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, warga pendidik perlu lebih kreatif dan inovatif untuk mencurah ilmu mengikut kehendak masa depan.
Menurutnya, guru yang kreatif dan inovatif dapat membantu merealisasi hasrat untuk melahirkan generasi yang bukan sekadar mampu bersaing, malah boleh menguasai pelbagai bidang pada masa depan.
“Sudah tiba masanya kita melahirkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang, kita perlu menguasai bidang-bidang tertentu, dan tak perlu bergantung kepada orang asing, sebaliknya rakyat Malaysia yang menjadi peneraju,” katanya.
Muhyiddin berkata, warga guru mempunyai tanggungjawab besar dalam usaha melahirkan generasi masa depan untuk mencapai Wawasan 2020, selain bertanggungjawab menjana serta mencorak pemikiran generasi pelapis ke tahap lebih tinggi.