Friday, 16 November 2012

STPM 2012

54,697 Duduki STPM Mulai Isnin
KUALA LUMPUR: Seramai 54,697 calon akan menduduki peperikasaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 di 760 pusat peperiksaan di seluruh negara dari 19 November ini hingga 13 Disember depan.
Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam satu kenyataan Jumaat menyebut, daripada jumlah itu, seramai 49,163 orang adalah calon sekolah kerajaan, 1,186 calon sekolah swasta, 4,224 calon persendirian individu dan 124 calon sekolah kerajaan negeri.
"Mereka merupakan calon kohort terakhir yang akan menduduki peperiksaan STPM sedia ada.
"Calon kohort pertama peperiksaan STPM berdasarkan sistem pentaksiran baharu STPM telah pun menduduki peperiksaan Penggal 1 STPM 2013 mereka pada 5 hingga 8 November lepas," kata MPM.
Kesemua calon dinasihati supaya sentiasa membawa kad pengenalan dan Laporan Pendaftaran Kemasukan Calon (LPKC) sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung dan digalakkan untuk menyemak nama pusat peperiksaan yang akan mereka duduki.
Calon juga boleh mencetak LPKC masing-masing melalui portal MPM di http://www.mpm.edu.my.
Sekiranya berlaku sebarang bencana alam seperti banjir atau tanah runtuh sehingga menyebabkan calon menghadapi kesukaran untuk sampai ke pusat peperiksaan, mereka dinasihati pergi ke pusat peperiksaan berdekatan untuk menduduki kertas peperiksaan pada hari tersebut.
MPM juga membuka Bilik Gerakan yang boleh dihubungi di talian 03-61302666, 03-61369663, 03-61302664 atau 03-61302646 dari 7 pagi hingga 6 petang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment