Sunday 17 March 2013

Doktor pun mati

PERGINYA SEORANG PEJUANG HOMEOPATI (1/10/12)

  Di dalam suasana di mana rakyat Malaysia masih lagi riuh berdiskusi, berborak dan merancang-rancang berkaitan pembentangan bajet 2013 yang baru dibentangkan oleh Perdana Menteri di Parlimen, kami mendapat pelbagai berita berkaitan teman-teman yang baru menyambut panggilan Ilahi.
  Antara yang terbaru itu ialah perginya seorang pejuang homeopati dan pengamal akupunktur bersama homeopati yang tidak asing lagi, iaitu Dr. Nik Omar bin Nik Daud pada 30 September 2012. SMS yang dihantar oleh Presiden MPHM pagi tadi disahkan oleh oleh sembang-sembang dalam facebook yang diposkan oleh Kirana Homeopathy Healing.
  Di dalam komentarnya, saudara Ruslan Yusoff memaklumkan bahawa Dr Alias dari Kota Bharu memberitahu beliau bahawa beberapa bulan duhulu Dr. Nik Omar mengidap masalah sakit kerongkong akan tetapi tiada detail diperoleh.

  Kamipun tertanya-tanya juga mengenai perkembangan kesihatan beliau apabila Prof. Hanafi daripada Majlis Perubatan Homeopathy Malaysia (MPHM) memaklumkan bahawa beliau ada melawat Dr. Nik Omar yang sakit agak tenat di Kota Bharu pada bulan Julai 2012.

  Info yang kami terima itupun sudah tiga bulan berlalu iaitu ketika kami menghadiri workshop berkaitan Casetaking yang dibentangkan oleh Dr. Alastair Gray dari Australia di Cyberjaya University College of Medical Science (CUCMS), Cyberjaya.
  Menurut (Prof Madya - UIA) Hanafi, pada masa itu Dr. Nik hanya bersedia untuk berjumpa dengan beliau sahaja walaupun beliau pergi untuk menziarahi Dr. Nik bersama beberapa orang rakan yang lain.

  Kami turut mengucapkan takziah kepada keluarga beliau dan semoga roh beliau ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal saleh.

  Sesungguhnya beliau adalah satu-satunya anak Kelantan yang terkedepan dalam mengembang dan memperjuangkan nasib homeopati sejak tahun 1970an sehingga ke akhir hayatnya.

  Kami tidak mendapat banyak maklumat berkaitan perkembangan beliau pada tahun ini baik berkaitan aktiviti, perkembangan kesihatan ataupun keadaan sakit beliau di saat-saat akhir.

  Tidak ada liputan akhbar arus perdana dan tidak terdapat juga makluman di dalam web-web yang dilancarkan oleh pendokong persatuan dan fakulti yang ditubuhkan oleh Dr. Nik Omar.
  Foto di atas diambil daripada laman facebook Dr. Nik sendiri yang dipaparkan sebagai kenangan ketika Ride Jelajah Kelantan 2010. Laman facebook itupun tidak terdapat sebarang update.
  Daripada kami - sebagai manusia dan insan yang serba kedhaifan, kita harus terima ketentuan Ilahi dengan penuh keredhaan. Tidak ada ahli sains, para doktor, para pakar, pengamal apa jenis perubatanpun, demikian juga sama ada mereka itu ahli agama, ateis maupun kaum materialistik yang tidak mengalami sebarang sakit (atau mendapat penyakit) ataupun dapat mengelakkan daripada kematian.
  Setinggi mana ilmu kita, sehebat mana kepakaran kita dan sejauh mana kebolehan dukun berubat, tiada siapa yang dapat mendepani, hatta meski sekadar menangguhkan, kematian. Walaupun sedetik, tidak sekali-kali kita mampu.
  Sekian. Salam meneruskan perjuangan homeopati di Malaysia. Patah tumbuh hilang berganti. Kendatipun yang tumbuh tidak akan sama dengan yang pergi.
  WaLlahu a'lam.

No comments:

Post a Comment