Saturday 2 February 2013

TAHNIAH DIATAS KEJAYAAN ITU

ARKIB : 31/01/2013

Syazana idam lanjut pengajian ke Mesir

Muhamad Aizat Aizani Azman dan Nur Syazana Apandi menunjukkan keputusan mendapat lulus 10 mumtaz dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia di Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU 30 Jan. - Sikap tidak malu bertanya walaupun soalan remeh menjadi resipi kejayaan pelajar cemerlang Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Nur Syazana Apandi, 19, dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Menurut Nur Syazana yang memperoleh keputusan 10 mumtaz, dia tidak menyangka diumumkan pelajar cemerlang bukan sahaja di sekolahnya tetapi dalam kelompok empat pelajar terbaik di peringkat negeri.
"Syukur Alhamdulillah kerana berkat dorongan kedua ibu bapa saya dan sikap yang tidak malu bertanyakan guru dan kawan-kawan, saya berjaya walaupun keputusan peperiksaan percubaan tempoh hari agak kurang memuaskan.
"Saya harap kejayaan ini akan mencerahkan peluang saya menyambung pengajian di Mesir dalam bidangUsuluddin," kata anak kelima daripada tujuh beradik itu ketika ditemui di sekolahnya, di sini hari ini.
Selain Nur Syazana, rakan sekolahnya, Muhamad Aizat Aizani Azman serta dua lagi calon daripada Institut al-Quran Terengganu iaitu Hafizuddin Al-Hijri Mohd. Kaspi dan Faten Nabila Ismail mencatat keputusan sama.
Dalam pada itu, Muhamad Aizat Aizani memberitahu, kejayaan menguruskan masa dengan baik menjadi kunci kejayaannya.
"Sebagai pengawas sekolah, saya terpaksa membahagikan masa untuk pelbagai aktiviti termasuk belajar, aktiviti kokurikulum dan sebagainya.
"Saya akan manfaatkan setiap masa yang terluang walaupun ketika makan untuk menelaah pelajaran," kata anak sulung daripada tiga beradik yang juga anak kepada seorang buruh.
Dalam perkembangan berkaitan, pengetua SMAASZA, Hashim Embong bangga dengan pencapaian calon sekolahnya kali ini.
"Sekolah ini mempunyai sebanyak 69 calon tahun lepas dan 98.55 peratus daripadanya lulus (mendapat maqbul), 15 mumtaz (cemerlang) serta dua calon mendapat 10 mumtaz (paling cemerlang)," katanya


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130131/dn_12/Syazana-idam-lanjut-pengajian-ke-Mesir#ixzz2JkaGYyRl
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment